“Assalamualaikum”
“Waalaikum salam.” jawab Johari ringkas. Dia terus melihat wajah orang tua itu sambil tersenyum. Dalam hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan orang tua itu.
“Saya Latif,…Haji Latif.”
“Saya Jo, Johari”
“Jumpa lagi “
“Ok” Johari terus ditolak ke dalam biliknya. Pintu ditutup. Ada renggang sedikit. Memang pintu wad biasanya tidak ditutup rapat bagi membolehkan jururawat melihat atau mendengar keadaan pesakit. Jika pintu ditutup rapat, apa yang berlaku di dalam bilik tidak diketahui. Mungkin pesakit meminta bantuan atau memerlukan sesuatu.
Johari terus menonton televisyen. Tiada yang menarik. Drama Melayu, cerita lama. Isteri memarahi suami kerana balik lambat. Suami diam dan terus masuk ke bilik. Isteri mengekori suami dan mendesak suami memberi jawapan mengapa lambat balik. Apabila suami diam, isteri terus mendesak sehingga mendapat jawapan.
Sepatutnya isteri tenang dan membiarkan suami berehat sebentar. Suami yang bertanggungjawab akan menerangkan segala-galanya kepada isteri setelah hilang penatnya. Tidak payah didesak. Jika terlalu mendesak mungkin beliau bosan dan akan menghambur kata-kata yang tidak enak. Diam dan cuba tenangkan suami. Beri dia peluang untuk berehat. Beri dia peluang untuk menerangkan apa yang berlaku. Mungkin ada sesuatu yang berlaku pada dirinya. Mungkin kereta rosak di tengah jalan. Kerana terlalu sibuk, tidak sempat menelefon isteri mengenai apa yang berlaku. Pelbagai kemungkinan. Jangan terlalu syak wasangka. Isteri yang baik akan mendapat suami yang baik. Begitulah sebaliknya.
Johari menukar stesen. Drama lagi. Cerita Cina. Johari terpegun sebentar melihat wajah heroinnya. Macam wajah tunang lamanya. Halimah. Dia teringat kali pertama bertemu Halimah di sebuah butik di Masjid Tanah. Dia terlanggar Halimah sehinggalah membawa mereka ke alam pertunangan. Tetapi hubungannya tidak lama, Halimah pergi dulu. Kemalangan pada tragedi petang raya yang turut meragut bakal mentuanya amat memilukan. Jodoh pertemuan, ajal maut ditentukan tuhan. Johari tetap bersabar. Belum ada jodoh lagi.
Iklan. Johari terus tutup televisyen. Masih terbayang wajah Haji Latif.
“Macam pernah jumpa dia, tetapi di mana?” tanyanya.
“Ah takpe le…yang penting aku kini dalam satu bilik, ada televisyen.”
Azizi, anaknya pasti suka dengan bilik itu. Semalam, Azizi terpaksa tidur di tepi katil yang sempit dan kecil. Tiada tempat luas di bilik itu kerana terpaksa berkongsi dengan tiga yang lain. Azizi tetap sabar menunggu bapanya. Anak yang baik.
Selepas pembedahan tulang belakang, Johari ditempatkan di bilik ICU dan dijaga rapi oleh tiga jururawat yang memantaunya setiap saat. Mereka memastikan Johari tidak mengalami komplikasi disebabkan oleh jangkitan kuman. Ini penting kerana ada kes kematian selepas pembedahan. Pembedahan boleh dibuat hanya selepas ada kekosongan di bilik ICU. Jika tiada, pesakit perlu menunggu sehingga ada kekosongan. Ketika di bilik ICU, Johari dikunjungi oleh abang dan keluarganya.
Selepas semalam di bilik ICU, Johari dipindahkan ke bilik empat orang. Berdekatan dengan kaunter jururawat. Senang dipantau jika menghadapi sebarang masalah. Di bilik empat orang inilah, Johari menunjukkan bakat semulajadinya. Menasihati orang. Sebagai wartawan beliau menanyakan pelbagai soalan kepada tiga pesakit dalam bilik itu. Yang bagusnya, mereka tetap melayan pertanyaan Johari.
Pernah satu ketika seorang pesakit yang degil untuk makan dinasihatinya.
“Encik…Tolong bagi tau suami saya untuk makan. Dia tak makan sudah tiga hari. Tolong bagi tau dialah.” pinta seorang perempuan India kepada Johari. Baginya, Johari adalah tempat terakhirnya untuknya meminta tolong kerana kedegilan suaminya.
“Uncle..mahu sihat ka…kalau mahu sihat tolong makan ya…”
Pesakit lelaki India itu, Muru, seperti anak kecil terus mengikut arahan Johari. Ini membuat isterinya gembira. Perempuan India itu terus menyuap dari satu sudu kepada satu sudu lagi. Beliau mampu tersenyum. Lelaki itu seperti kerbau dicucuk hidung.
Kini Johari ditempatkan di satu bilik. Tugasnya sebagai wartawan dan penasihat mungkin akan berakhir. Beliau sudah pasti berseorangan dalam bilik itu. Namun, yang penting Azizi boleh tidur lena. “Tapi nak tidur atas apa?” tanyanya lagi. “Suruh Azizi bubuh surat khabar dan tidur diatasnya. Taklah sejuk kena simen tu. Kalau sejuk, tak elok untuk kesihatan.”
Tiba-tiba Azizi muncul.
“Papa dah pindah bilik ke?
“Ya”.
“Bagusle…Zizi boleh tidur kat sini.”
“Pergi ambil surat khabar. Bentang dan boleh tidur atasnya.”
“Takpe papa…kelmarin Zizi tengok ada kerusi malas di dalam setor. Zizi nak pergi tengok, mungkin boleh digunakan.” Azizi terus berlalu.
Hati Johari masih lagi tertanya-tanya siapakah lelaki tua yang menegurnya tadi. Haji Latif tinggal di bilik hadapan. Bilik dua orang satu bilik. “Macam pernah jumpa” ulang hati Johari sekali lagi. “Tapi dimana …” .
Johari terus mengambil surat khabar yang diletakkan di tepi katil dan terus membaca bahan berita dalam akhbar itu.
Tum….
bunyi kerusi tergantuk kepada pintu selak itu.
“Jaga-jaga sikit. Baik-baik. Nanti jatuh pula” ingat Johari pada anaknya.
Azizi terus meletakkan kerusi itu di tepi pintu. Beliau terus mencuba kerusi berkenaan.
Prappp.. Bunyi kerusi itu. Patah.
“Alaaa .....patah pulak kerusi ni”
“Azizi berat sangat kot?” seloroh Johari pada anaknya.
Sudah beberapa kali dia menasihatkan anaknya supaya menguruskan badan. Berat badannya sudah hampir sama dengan Johari.
“Takdela pa…mungkin kerusi sudah lama. Nanti Azizi ambil satu lagi dalam setor itu.” Azizi berlalu.
Johari terfikir masa depan anaknya. Apa yang ingin dilakukan oleh Azizi. Ketika ini, anaknya mengambil kursus perfileman di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Nak jadi bintang filem agaknya, terfikir dalam fikiran Johari. Azizi sejak dari bangku sekolah lagi meminati dalam bidang seni. Beliau mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan termasuk menjadi penyanyi utama dalam satu kumpulan muzik. Namun, Azizi juga bergiat dalam kegiatan lasak seperti permainan ragbi dan kumpulan kembara. Banyak tempat yang telah dilawatinya. Malah Gunung Kinabalu sudah ditawannya. Megah menunjukkan sijil yang diperolehinya sekembali daripada memanjat gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.
“Yang ni nampak solid pa.” kata Azizi sekembalinya membawa satu lagi katil daripada setor.
“ Ah... cubalah” jawab Johari ringkas.
Azizi segera meletakkan kerusi di sebelah pintu dan terus cuba duduk di atasnya. Tiada apa yang berlaku. Kerusi itu kukuh seperti Gunung Kinabalu.
“Ah bolehlah Azizi tidur nyenyak malam ini. Papa kesihan tengok Azizi tidur malam tadi. Tempat sempit dan orang ramai lalu lalang pasti Azizi tak dapat tidur.”
“ Memang pa…tak boleh nak pusing badan. Tidur kena tegak je..Orang pulak tu sikit punya ramai.”
Malam tadi, adalah malam minggu. Ramai pelawat datang melawat sanak saudara dan sahabat handai. Johari juga menerima pelawat daripada saudara mara dan rakan taulan. Saudara dari Melaka yang mengetahui Johari menjalani pembedahan turut melawat. Abang Ali, abang Ibrahim, abang Kassim dan Kakak Miah turut melawatnya malam tadi. Mereka bertanya pelbagai soalan. Bertubi-tubi. Syukurlah isterinya. Fatimah membantu untuk menjawab pelbagai soalan. Ada yang pelik. Nak tahu semuanya. Macam soalan wartawan pun ada.
“Papa dah makan ke?
“Dah….lauk hospital”
“ Kalau papa nak, boleh share dengan Azizi…ada beli MacDee ni.”
“Takpela…Azizi makanlah. Papa nak relaks kejap.”
Anaknya terus membuka makanan yang dibelinya. Siap dengan air berkarbonat. Sejak dari dulu lagi Azizi gemar makan macdee dan Kentucky. Walaupun dinasihatkan beberapa kali, beliau tetap mahu menikmatinya.
Monday, April 30, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment