Sunday, May 6, 2007

WALIKOTA : BAB 2

Fatimah menganggapnya satu takdir. Ketentuan Allah. Tidak terlintas di fikiran, suaminya akan melalui pembedahan tulang belakang. Apatah lagi major operation. Tidak terlintas di fikiran suaminya mengalami masalah tulang belakang yang kronik. Selama ini, suami mengadu sakit belakang kerana menghadapi masalah batu karang.

Namun, Fatimah reda dengan ketentuan Allah.

“Aku harus tabah. InsyaAllah semuanya akan selamat,” kata hatinya cuba menenangkan fikiran. Baginya, beliau perlu kuat untuk memastikan suaminya terus melawan kesakitan yang dialaminya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Fatimah menitiskan air mata melihat suami bergelimpangan tidak tahan sakit. Painkiler menjadi teman setia suami. Apabila tidak tahan sakit lagi, beliau akan membawa suaminya ke klinik. Mendapatkan injection. Begitulah sepanjang sebulan lalu. Akhirnya, suaminya disahkan menghadapi jangkitan kuman pada tulang belakangnya. Pembedahan adalah usaha untuk mengelakkan jangkitan kuman itu merebak. Jangkitan itu dipercayai disebabkan masalah toksin dalam air kencing.

Bagi Fatimah, pembedahan adalah satu cabaran. Namun yang lebih getir ialah menghadapi tempoh selepas pembedahan. Pasti amat memilukan. Ia mengambil masa untuk sembuh. Ada orang yang terpaksa melaluinya bertahun-tahun. Kawan suaminya, yang membuat pembedahan apendik terpaksa mengunjungi hospital setiap bulan. Ini kerana dia menghadapi komplikasi seperti jangkitan kuman dan menyebabkan kawasan pembedahan bernanah.

Ketika suaminya di bilik pembedahan Fatimah menunggu dengan sabar bersama anaknya, Azizi. Mereka turut ditemani oleh rakan-rakan sekolejnya. Sambil menunggu, mereka berbual. Pelbagai cerita suka duka ketika di Universiti Teknologi Mara dikongsi bersama.

Masih ingat lagi pertemuan pertamanya dengan Johari. Mereka bertemu secara kebetulan. Fatimah mengikuti rakannya, Zulaikha menemui boyfriendnya, Zainal. Ketika itu, beliau menemui Johari yang bersama Zainal. Daripada pertemuan pertama sehinggalah mereka menjalinkan hubungan dan akhirnya terus berkahwin selepas tamat belajar di universiti. Johari seorang yang suka berterus-terang. Setelah sebulan berkawan, Johari terus bertanya apakah akan terjadi dengan hubungan mereka. Bagi Fatimah, biarlah masa menentukan. Namun bagi Johari, sesuatu hubungan itu perlu menjadi serius setelah kedua-dua pihak bersedia untuk menjalinkan hubungan. Baginya tiada masa untuk "cuba-mencuba" kerana ia mungkin tidak sesuai sekarang. Selepas perbualan terus-terang itu, mereka terus menjadi kawan baik.

Johari seorang yang aktif. Beliau meminati bolasepak, hoki dan ragbi. Namun, beliau mewakili negara dalam sukan ragbi. Johari juga menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) ketika di universiti. Mereka adalah kumpulan pertama ketika Palapes diperkenalkan di beberapa institusi pengajian tinggi. Ketika itu, ramai yang berasa sangsi untuk mengikuti Palapes. Ada yang takut bahawa latihannya pasti lasak tidak seperti Kesastria yang telah lama diperkenalkan oleh UiTM.

Fatimah terus menyertai Kesastria sedangkan Johari yang sebelum ini mengambil ragbi sebagai kokurikulum menukarkannya kepada Palapes. Fatimah tidak hairan dengan pertukaran itu. Johari sebenarnya gemar menjadi kadet tentera. Ketika di Sekolah Tinggi Melaka, beliau menyertai kadet komando. Kadet ini dilatih oleh anggota komando daripada Kem Sungai Udang, Melaka. Johari pernah memberitahunya latihan yang diberikan oleh anggota komando amat mencabar dan pelatih menganggap kadet sebagai anggota tetap. Cuba bayangkanlah. Selepas selesai makan, kadet komando diminta berlari daripada dewan makan ke berek mereka.

“Ayang dah makan?”
“Dah…makan kedai mamak di Dayabumi."
"Makan apa?"
"Makan mi goreng....Ni i belikan apa you hendak tu." kata Fatimah. Beliau terus membuka makanan yang dibelikan untuk suami.

Hampir setiap hari itulah rutin tugasan Fatimah. Beliau akan menghantar anak ke sekolah dan pergi kerja. Pada jam 6 petang, Fatimah akan melawat suaminya. Jam 6.30 petang, Fatimah akan mengambil dua anaknya daripada sekolah ke rumah di Subang Jaya.
Apabila dipesan oleh Johari untuk membeli makanan, Fatimah akan melakukannya dengan setia dan penuh tanggungjawab. Hari ini, suaminya ingin menikmati telur ikan goreng dan ayam masak kari. Nasib baik masih ada telur ikan goreng. Biasanya waktu petang sudah habis.

"You tak nak jamah sikit."
"Takpela...you makan lah. You nak minum air milo ke?
"Boleh juga."
Fatimah terus bingkas daripada melabuhkan punggungnya di tilam katil suaminya. Beliau terus mengambil air panas yang disediakan oleh pihak hospital dan membuat milo daripada bungkusan 3 in one. Bukan selalu suaminya minum air milo. Ini kerana beliau lebih gemar untuk minum air suam atau air mineral. Tindakan itu menyebabkan Johari kini semakin kurus. Semakin susut.

Sebelum mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Johari mendapatkan nasihat pakar tulang belakang di Pusat Perubatan Damansara. Oleh kerana pembiayaan mahal, beliau meminta dipindahkan ke hospital kerajaan. Johari adalah pegawai kerajaan. Namun, bagi pembedahan ini segala pembayaran dibuat oleh majikan isterinya dengan membawa surat jaminan. Dalam hal ini, Johari tidak perlu membayar sebaliknya, masuk wad dan ditetapkan tarikh pembedahan.

No comments: