Monday, June 4, 2007

NUKILAN PERASAAN

Oleh Dalilah Tamrin
(petikan: http://onebreastbouncing.blogspot.com)


Barah ini pernah kuanggap racun
Menjalar dalam senyap
Menyusup dan menyelinap
Membunuh sebuah harapan
Kehidupan
Barah ini bagai satu tamparan
Tentang aku dan keimanan
Menilai apa yang berlaku
Tentang perancangan
Dan Ketentuan
Barah ini adalah satu ujian
Erti sebuah persahabatan
Tentang Ketuhanan
Dalam senyumku ada sebak memuncak
Bila teman
Sentiasa bersama ibarat tunggak
Dalam tangisku ada sedu sedan
Bila teman
Dalam sinis mendoakan kesejahteraan

Barah ini membawa perubahan
Kepada jasad dan jiwaku
Melentur hati dan egoku
Membunuh kejahilanku
Menginsafkan aku
Barah ini adalah rahmat
Ketika aku lupa makna berkat
Ketika aku leka mengejar pangkat
Dalam pendek waktu hidup yang singkat
Barah ini memberi kesedaran
Tentang aku yang disayangi Tuhan
Diberi dugaan dan ujian kehidupan
Sebagai peringatan
Untukku nilai kekuatan iman
Untuk sentiasa mengingati
Tentang kematian yang pasti
Tentang hidup selepas kematian
Tentang alam baqa' dan bekalan
Barah ini membawa syukur
Dan aku akur
Dengan kekuasaanNYa
Dengan kebesaranNya

Setiap nafas yang kuhela
Di waktu pagi aku terjaga
Setiap detik degup jantungku
Saujana yang kupandang
Nada dan suara yang kudengar
Membawa tafakkur
Allahu Akbar! Allahu Akbar!


(Selasa, 5 April 2005)

No comments: